Friday, 26 June 2015

Antara Pendapat ulama & Pendapatan 6 Angka

Disebalik wujudnya pandangan yang memudahkan urusan urusniaga seperti yang dibincangkan, terdapat beberapa golongan kini menggunakan kelonggaran dalam masalah ini untuk melakukan skim-skim umpama skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan lebih 40% setiap bulan. Konsep “Money Game” yang menggunakan emas sebagai bayangan produk kini berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan banyak mendapat tempat di hati masyarakat berikutan keadaan ekonomi yang semakin meruncing. Mereka berhujah dengan hujah-hujah agama, menamakan skim-skim mereka dengan nama ilmiah yang sebenarnya hanyalah kosmetik sebagai pasaran utama skim mereka.
Para cendikiawan Islam perlu kehadapan dalam menangani isu-isu sebegini. Ramai dikalangan wakalah skim-skim tersebut kebanyakannya menanggung hutang yang berjuta-juta akibat kerugian setelah berjaya mempromosikan skim syarikat mereka. Kebanyakan wakalah  merupakan golongan professional dan agamawan yang tidak mengetahui prinsip-prinsip ekonomi dan perniagaan seterusnya hanya menjadikan aqad dan bebas riba sebagai syarat untuk menghalalkan urusniaga. Kebanyakan mereka juga sebenarnya tidak mengetahui transaksi pelaburan syarikat dan hanya menjadikan C.E.O. yang berkopiah sebagai hujah utama.

Kerajaan dan badan-badan Islam perlu mempunyai pendirian dalam membuat keputusan terhadap syarikat yang menggunakan nama Islam sebagai skim cepat kaya kerana boleh merugikan masyarakat di samping memberi kesan kepada imej agama. Jabatan-jabatan agama sepatutnya bukan hanya menyerang golongan sesat aqidah semata-mata, bahkan perlulah menangani masalah sesat dalam mualamah seperti isu berkaitan sosial dan juga ekonomi supaya rakyat dapat mengetahui akan bunga yang di dalamnya mudu atau racun.

No comments:

Post a Comment